Thursday, March 31, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa


Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Kedah adalah hikayat yang menceritakan susur galur Merong Mahawangsa dan pengasas Kedah, sebuah negeri di Malaysia. Sungguhpun terdapat beberapa fakta sejarah, ia turut mengandungi dakwaan yang mengkagumkan. Era yang dirangkumi oleh teks ini bermula dari pembukaan negeri Kedah oleh Merong Mahawangsa, yang didakwa sebagai keturunan Iskandar Agung dari Macedonia sehingga ketibaan Islam pada abad ke-2 M.

Merong Mahawangsa merupakan penganut Hindu dan terdapat sembilan pemerintah Hindu sebelum Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam pada 1136 dan mengambil nama Sultan Mudzafar Shah. Hikayat ini turut menggambarkan serangan Chola ke atas Kedah.Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai kemasyarakatan, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaan Raja Rom.

Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negeri China telah diserang oleh Garuda. Ia membuka negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke Kedah Zamin Turan.

Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam, putera tengah, Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah ditabal sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri, sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.

Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepada Sultan Mudzafar Shah.Tiada siapa yang tahu bila Hikayat Merong Mahawangsa pertama kali dikarang. Pembayang utamanya mungkin terletak dalam mukadimahnya yang berbunyi: "Adalah pada suatu masa zaman Sultan Muazzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang maha mulia kerajaan negeri Kedah, pada suatu hari baginda keluar ke penghadapan, …" Sultan Muazzam Shah sebenarnya memerintah dari tahun 1179–1201. R.O. Winstedt mula-mulanya mengusulkan tahun 1612 sebagai tahun asalnya, namun beberapa sejarawan Kedah meragui anggapan ini kerana sastera Melayu belum berkembang ketika itu. Nampaknya ramai sejarawan berpendapat bahawa manuskrip asli Hikayat ini ditulis pada abad ke-19, apatah lagi sekitar tahun 1821, berasaskan peristiwa pembakaran salinan buku Hikayat ini atas perintah kerajaan Siam pada tahun itu.[1] Ketika itu, negeri Kedah menjadi negeri ufti Siam, oleh itu kerajaan Siam membenci mana-mana tindakan yang kelihatan mencabar kewibawaannya baik dalam negara sendiri mahupun negeri-negeri uftinya.[1]

Catatan pusaka Hikayat Merong Mahawangsa masih disimpan dalam beberapa salinan manuskrip yang diterbitkan pada zaman pendudukan Barat di Nusantara sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20 sebagai panduan. Antaranya:[1]

Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 21 yang merupakan koleksi pertama milik W. Maxwell. Naskhah ini ditulis sepanjang 149 halaman tanpa nombor di setiap halamannya, dan telah diserahkan ke Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Di dalamnya terdapat tanda tangan Maxwell dan catatan Singapore, 1884 M.
Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 16 oleh W. Maxwell. Naskhah ini tersimpan di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Naskhah ini disalin oleh Muhammad Nuruddin bin Ahmad Rajti pada 2 September 1889 M di Pulau Pinang dengan panjang 207 halaman.
Sjadjarah Negeri Kedah atau Hikayat Merong Mahawangsa, yang dikenali sebagai versi von de Wall, No. 201. Naskhah salinan ini ditemukan oleh von de Wal ketika ia di Riau.
Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Negeri Kedah. Naskhah ini ditulis di Kampung Sungai Kallang, Singapura. Di dalamnya tercatat tahun 1876 M. Salinan manuskrip ini disimpan di Perpustakaan Bodleian, Universiti Oxford, England.
Hikayat Merong Mahawangsa versi R.J. Wilkinson, dicetak batu dalam tulisan Jawi berukuran fulskap oleh Kim Sik Hian Press, No. 78, Penang Street. Versi ini disalin pada 16 November 1898 oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin di Pulau Pinang.
Hikayat Merong Mahawangsa versi Sturrock yang diterbitkan dalam Journal of The Royal Asiatic Society, Straits Branch (JRASSB) No. 72, Mei 1916 M di halaman 37-123, yang dicetak menggunakan tulisan Rumi (tulisan romawi).
Hikayat Merong Mahawangsa versi Logan yang merupakan koleksi J.R Logan, kini tersimpan di Perpustakaan Nasional Singapura dengan nombor arkib qMR 8999, 2302 HR.

Hikayat Merong Mahawangsa turut dirakam dalam bentuk ulasan historiografi oleh Siti Hawa Haji Salleh, terbitan Universiti Malaya pada tahun 1991.[2] Buku ulasan ini memetik ceritanya dari tiga manuskrip, iaitu Maxwell 16, Maxwell 21, dan Von de Wall 201.

Merong Mahawangsa
Merong Mahawangsa tidak mula belayar dari Rom kerana ia mesti memusing Afrika Selatan melalui tanjung harapan yang terlau jauh dan tidak sesuai untuk kapal Rom. Oleh itu pelayaran sebenar melalui Teluk Parsi oleh itu ia bukan dari Rom. Ia mungkin mengakui dari Rom tetapi Alexander the Great (Iskandar Zulkurnain) berasal dari Mercedonia Greek. Pelayaran untuk mewujudkan hubungunan diplomatik dengan China melalui laut merupakan era baru dan alternatid sebab selama ini hubungan darat telah ada melalui Jalan Sutra. Dalam pelayarannya ke China, baginda telah diserang oleh garuda. Garuda ini dalam hikayat sebagai burung raksasa. Burung ini di katakan telah mengadap Nabi Allah Sulaiman (sebagai Kerajaan Dunia) untuk memohon kebenaran menyerang. Kisah ini kemudian dari era Nabi Sulaiman oleh itu ia hanya tambahan pencerita.Garuda adalah burung tunggangan Dewa Visnu dalam ugama Hindu. Oleh itu hanya simbol penentangan Kerajaan Hindu yang tidak mahu Parsi berbaik dengan China kerana India mahu Asia tenggara bawah pengaruh nya. Oleh itu tentera laut benua India atau Seri Langka lah menyerang Merong Mahawangsa. Ia singgah di wilayah Lembah Bujang,Langkasuka,Kedah Tua bagi membuka penempatan baru. Merong Mahawangsa ialah seorang Raja beragama Hindu bukan pula beragama Roman menguatkan lagi beliau tidak datang dari Rom. Lembah Bujang mungkin di diami oleh Sami Hindu yang tidak kahwin Bramacahri. Sebab itu dipanggil lembah bujang.

Raja Seri Maha Inderawangsa ,Raja Bersiong
Raja Seri Maha Inderawangsa merupakan putera kepada Raja Seri Mahawangsa. Bagi rakyat jelata, baginda lebih sinonim dengan panggilan Raja Bersiong kerana suka memakan darah manusia. Ia di kaitkan dengan dua Tempat ia itu Bukit Choras dan Tikam Batu . Di Tikam Batu di ceritakan ada sabuah Istana Raja Bersiong di atas Bukit dengan Air Terjun yang menumbusi batu sedalam sebantang buluh. Sempena ini lah nama Tikam Batu di ambil. Raja Besiong beragama Hindu.Beliau menyembah tokong di perbuat daripada emas dan berhala ini diambil oleh British bawa balik ke India. Memadang dia suka mamakan darah kemungkinan Berhala pujaan nya adalah Dewa Kali . Mengikut kepercayaan Hindu dewa ini suka makan darah ,korban berdarah. Kemungkinan kedua adalah dia terpengaruh dengan satu kaum Gergasi yang pada lagenda di kedah tinggal di Kaki Gunung Jerai. Kaum ini berbadan besar dan tinggi dan mengamalkan memakan manusia. Saiz yang besar ini mungkin di sebabkan banyak protein dalam diet berbading dengan yang makan sayur sayuran. Apabila rakyat yang mula mengenal Islam dan tidak mahu lagi menyembah Dewa Kali memberontak menentang Raja Bersiong dia lari hingga ke Baling di mana dia mencabut dan membaling siongnya dan jatuh ke Kg Siong di Baling.Dia mungkin memasuki Daerah Patani dan hilang di sana.

Senarai raja mengikut Hikayat Merong Mahawangsa

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat 8 orang Raja yang berkuasa di Langkasuka yang juga pengasas kepada kerajaan Kedah Tua bermula disekitar Lembah Bujang. Diantara mereka juga merupakan pengasas kepada Kerajaan Siam, Gangga Negara dan negeri Patani, Selatan Siam (Thailand). Berikut adalah penama-penamanya:

Merong Mahawangsa (berasal dari Rom kemudiaan belayar ke China. Dalam pelayarannya ke China, baginda telah diserang oleh garuda. Lalu bersinggah ke wilayah Lembah Bujang, Langkasuka (Kedah Tua) bagi membuka penempatan baru). Baginda berketurunan Kaisar Romawi Iskandar Agung dari Macedonia. Merong Mahawangsa ialah seorang Raja beragama Hindu.

Raja Merong Mahapudisat, putera sulong Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Baginda ditabalkan di Rom sebagai Raja Siam. Langkasuka ditukar nama sebagai "Kedah Zamin Turan". Baginda menjadi Raja Siam pertama.

Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah, putera kedua Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Ditabal Raja dan pengasas bagi Kerajaan Gangga Negara.

Raja Puteri, merupakan anak ketiga Merong Mahawangsa. Juga merupakan seorang Puteri, beragama Hindu. Ditabal sebagai Raja Patani pertama.

Raja Seri Mahawangsa, petera bongsu Merong Mahawangsa. Beragama Hindu. Menggantikan ayahdanya Merong Mahawangsa sebagai Raja Kedah. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan ufti bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya sulongnya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera. Mempunyai seorang putera yang degil yang bernama Raja Seri Maha Inderawangsa.

Raja Seri Maha Inderawangsa merupakan putera kepada Raja Seri Mahawangsa. Beragama Hindu. Merupakan Raja yang degil dan zalim. Memakai gelaran Raja Ong Maha Perita Deria. Bagi rakyat jelata, baginda lebih sinonim dengan panggilan Raja Bersiong kerana suka memakan darah manusia. Lari kedalam hutan Gunung Jerai dan mangkat disana selepas di serang oleh angkatan tentera menterinya. Meninggalkan seorang putera yang bernama Raja Phra Ong Mahapudisat.

Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan putera kepada Raja Seri Maha Inderawangsa (Raja Bersiong). Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan Raja beragama Hindu. Mempunyai seorang putera bernama Raja Phra Ong Mahawangsa.

Raja Phra Ong Mahawangsa merupakan putera kepada Raja Phra Ong Mahapudisat. Asalnya beragama Hindu, kemudian memeluk agama Islam. Menukar nama sebagai Sultan Mudzafar Shah I (Dipercayai sebagai Sultan pertama Kedah dan salah seorang Sultan tertua didunia bermula tahun 1136). DiIslamkan oleh Syeikh Abdullah Yamani.


Syair Kedah Darul Aman

Burung Garuda Dengan Nabi Allah Sulaiman

Pada zaman dahulu kala,
Nabi Sulaiman perintah segala,
Seluruh alam segenap petala,
Taat perintah dengan rela.

Tersebut kisah di Langkapuri,
Burung garuda berdiam diri,
Banyak sakti megah sendiri,
Semua makhluk takut hampiri.

Rajawali mendengar cerita,
Burung Kakak Tua empunyai warta,
Lalu pergi serta-merta,
Berjumpa garuda beri berita.

Raja Rum ada rencana,
Ingin jodohkan anaknya teruna,
Dengan puteri Raja Cina,
Negerinya jauh di Timur sana.

Perkahwinan dirancang dengan bangga,
Walaupun jauh tidak terhingga,
Kerana takbur serta peraga,
Raja-raja lain tidak terduga.

Burung garuda hilang pedoman,
Lalu mengadap Raja Sulaiman,
Teguh tekad keazaman,
Gagal hasrat perkahwinan idaman.

Raja Sulaiman beri pandangan,
Makhluk hanya buat rancangan,
Begitu juga jodoh tunangan,
Hanya Allah punya pegangan.

Azam Garuda penuh perasaan,
Gagal perkahwinan dengan paksaan,
Andai tindakan tidak berkesan,
Nyahkan diri dari insan.


Angkatan Raja Merung Mahawangsa Dimusnahkan

Terbang Garuda ke Benua Cina,
Melihat puteri dijaga sempurna,
Puteri disambar tidak semena,
Inang, pengasuh dicengkam kena.

Ketiganya terus dibawa lari,
Terbang menuju ke Langkapuri,
Diletak ke tempat yang berseri,
Segala keperluan Garuda beri.

Raja Rum raja berbangsa,
Siap kelengkapan tergesa-gesa,
Berketua Raja Merung Mahawangsa,
Keturunan dewa yang berjasa.

Isteri berbaka raksasa gergasi,
Hidup mereka begitu serasi,
Selalu dibawa duduk di sisi,
Kerana ayah banda begitu sangsi.

Merung Mahawangsa sebagai sahabat,
Baginda rela turut terlibat,
Ganti Raja Rum sebagai kerabat,
Ke Negeri Cina berbahtera hebat.

Belayar beberapa buah bahtera,
Mengharung gelombang samudera,
Singgah beberapa buah negara,
Naungan Rum rakyat gembira.

Mereka belayar tepi daratan,
Di mana singgah diberi sambutan,
Dapat hadiah sarat muatan,
Hingga sampai dekat Hindustan.

Kuala Changgung nama negeri,
Guruh petir tidak terperi,
Burung besar datang hampiri,
Rupanya Garuda dahsyat ngeri.

Raja Merung perintah berkata,
Mesti semua siap senjata,
Tunggu angkara dan sengketa,
Bahaya berada di depan mata.

Raja Merung tenang menghala,
Panah meriam serta lela,
Ke arah Garuda tujuan ditala,
Ditepis Garuda tidak bersela.

Terjadi peperangan yang ngeri,
Antara angkatan yang melayari,
Dengan Garuda seekor diri,
Putera Rum mesti dibunuh sendiri.

Perang berhenti bila malam,
Suasana menjadi amat kelam,
Garuda hilang ke mana alam,
Hinggalah siang cerah berbalam.

Tiada perang beberapa hari,
Bahtera dan kapal terus layari,
Di Kuala Tawai terjadi peri,
Tiba-tiba Garuda langgari.

Ribut guruh petir dan kilat,
Angkara Garuda sakti mengilat,
Dua bahtera kembar beralat,
Kapal mengepung tidaklah ralat.

Raja Merung panah segera,
Keluar api merah berbara,
Segala azmat bahana di udara,
Jadi lenyap bagai dimentera.

Panah dan bedil menuju Garuda,
Tidak terjejas kenanya tiada,
Tiga kapal terkena landa,
Diterbang entah ke mana berada.

Gempita tentera bertempik sorak,
Namun Garuda tangkas bergerak,
Tiga lagi kapal berselerak,
Terbang Garuda di mega berarak.

Banyak kapal rosak binasa,
Ramai manusia pasti terseksa,
Ahli rombongan sedih terasa,
Angkara Garuda gila kuasa.

Di Kuala Parit pinggiran segara,
Garuda mengganas terus mara,
Raja Merung memanah mentera,
Bernama Pusar Sempani Gembira.

Panah sakti bukan buatan,
Keluar dengan hantu syaitan,
Garuda tepis dengan kekuatan,
Sambil sambar kapal dan muatan.

Dipanah lagi Jentayu m7njelma,
Lalu berlawan seketika lama,
Keluar api dentuman bergema,
Jentayu hangus mati percuma.

Ke Pulau Salang belayar bahtera,
Raja Merung titah bicara,
Hendak berlabuh buat sementara,
Air dan kayu dicari segera.

Putera Rum belayar terus,
Dengan menempuh gelombang arus,
Pengiring yang ada boleh mengurus,
Sangka Garuda ganggu sejurus.

Bila hampir Pulau Langkapuri,
Bahtera telah Garuda langgari,
Rosak binasa tidak terperi,
Tinggal Putera seorang diri.

Garuda yakin Putera terkorban,
Sebenar di papan Putera terhumban,
Garuda sangka selesai beban,
Ke Langkapuri pulang ke reban.


Kerajaan Langkasuka

Raja Merung selesai kerja,
Belayar menurut putera raja,
Terjumpa orang renang terkinja,
Baginda sedih bermuram durja.

Telah penat mereka mencari,
Sudah masuk berhari-hari,
Tanpa bayang puteranya diri,
Kecewa baginda di sanubari.

Belayar ke timur ke Teluk Tanjung,
Bertanya kepada mualim tersanjung,
Nama pulau yang di hujung,
Hajat hati hendak berkunjung.

Mualim berkata dengan pasti,
Seri dan Jambul pulau sejati,
Ke Pulau Lada mereka dekati,
Lalu berlabuh sesuka hati.

Kaum Gergasi penghuni di situ,
Raja Merung mereka bantu,
Pelawa tinggal dan sekutu,
Sambil mencari Putera Rum itu.

Jumpa kawasan indah saujana,
Dirikan kota serta istana,
Semua lengkap dengan sempurna,
Lalu mencari nama bermakna.

Mereka bekerja bersuka-suka,
Makan minum senang belaka,
Raja Merung jadi Paduka,
Gelar negeri Langkasuka.

Berpindah ke situ beramai-ramai,
Suasana aman serta damai,
Keadaan desa begitu permai,
Rakyat taat kasih tersemai.

Burung Garuda Menerima Hukuman

Putera Rum hanyut tak menentu,
Lalu terdampar di celah batu,
Di Langkapuri pantai di situ,
Badan dan wajah berkerutu.

Puteri cari ketam dan siput,
Diiring Inang bayu berpuput,
Terdengar suara orang semput,
Inang disuruh membuat Iiput.

Putera Rum ditanya Inang,
Mengapa hanyut letih berenang,
Minta jawab dengan tenang,
Tolong cerita boleh dikenang.

Putera Rum terus cerita,
Kisah Garuda buat sengketa,
Habis binasa rombongan mahkota,
Hajat ke Cina jadi derita.

Mak Inang disuruh Puteri,
Pergi bersama dayang berseri,
Sembunyi Putera di gua sendiri,
Air nasi mesti diberi.

Kupang di badan kikis bersama,
Hingga bersih beberapa lama,
Pakaian Inang diberi percuma,
Bereskan sebelum Garuda jelma.

Saban hari Inang pelihara,
Kian sihat segak Putera,
Cari pakaian berakal bicara,
Agar Garuda tidak ketara.

Bila Garuda datang berjumpa,
Puteri Cina terus menyapa,
Semua makanan tak kurang apa,
Cuma pakaian tidak seberapa.

Garuda tanya beri harapan,
Di mana kain Puteri simpan,
Akan diambil bawa ke depan,
Boleh Puteri bersiap-siapan.

Garuda kata jangan bimbang,
Puteri akan ke Cina terbang,
Tak lama lagi hari di ambang,
Sesuai janji seperti tersembang.

Tempat pakaian dicerita Puteri,
Benua Cina istana negeri,
Dalam bilik Puteri sendiri,
Garuda boleh pergi cari.

Garuda terbang ke Negeri Cina,
Kelam kabut jadikan suasana,
Dapat dicari pakaian di mana,
Peti diterbang ke Langkapuri sana.

Pakaian diserah kepada Puteri,
Lalu Garuda hilangkan diri,
Puteri pilih pakaian sendiri,
Bila dipakai indah berseri.

Putera Rum Puteri Cina,
Sama elok sama kena,
Jatuh cinta penuh makna,
Garuda tak tahu semua rencana.

Seminggu Garuda datang semula,
Putera ke gua sediakala,
Gua ditutup elakkan bala,
Berpisah mereka buat berkala.

Garuda mengadap Nabi Sulaiman,
Cerita semua pengalaman,
Puteri Cina dalam genggaman,
Dipelihara pula dengan aman.

Putera Rum punya angkatan,
Garuda akui laku perbuatan,
Semua binasa dalam lautan,
Tertunai janji seperti tuntutan.

Semua yang hadir telah ketawa,
Mendengar cerita yang dibawa,
Garuda tetap seperti terdakwa,
Nyahkan diri andai kecewa.

Nabi Sulaiman perintah segera,
Suruh jin berbudi bicara,
Ke Langkapuri seberang samudara,
Ambil mereka tanpa cedera.

Mereka berempat masuk ke peti,
Lalu diterbang jin sakti,
Menghadap Nabi yang menanti,
Garuda terkejut hampir mati.

Nabi bersabda empat perkara,
Rezeki maut jangan dikira,
Jodoh bercerai juga setara,
Kehendak Allah yang ketara.

Garuda merasa amat lara,
Pohon ampun segala angkara,
Terpaksa nyah hujung segara,
Di laut Kalzum sedih sengsara.

Harman Shah jin utama,
Dengan seribu para panglima,
Bawa pengantin pengasuh bersama,
Ke Negeri Cina dengan saksama.

Surat Nabi dibawa serta,
Ke Negeri Cina istana kota,
Raja Cina menurut kata,
Puteri dinikah Putera mahkota.


Permulaan Negeri Kedah

Raja Merung di Pulau Seri,
Telah bertanya kepada menteri,
Apakah ada lagi negeri,
Mempunyai anak gadis berseri.

Menteri telah berkabar berita,
Agak jauh menurut cerita,
Kelinggi namanya ikut warta,
Benda ajaib di situ tercipta.

Raja Merung terus bicara,
Titah bersurat dengan segera,
Minta tempayan besarnya tera,
Sebagai tanda sahabat saudara.

Dengan perahu belayar menteri,
Bawa barangan bersama diri,
Ke Kelinggi segera hampiri,
Akhirnya tiba negeri dicari.

Ketika itu ada di sana,
Utusan Rum ke Negeri Cina,
Sedang mengadap paduka di istana,
Hendak cari Raja Merung di mana.

Raja Kelinggi dengar cerita,
Hajat Raja Merung yang tercita,
Ingin tempayan besar tercipta,
Sesuai Gergasi dan Bota.

Tempayan diraja telah diberi,
Usung ke bahtera Rum seri,
Perahu ranap dikhuatiri,
Tumpang bahtera teman sendiri.

Besar sekali tempayan itu,
Tukangnya Gergasi ciptaan bermutu,
Tinggi umpama bukit batu,
Beranak tangga naiknya tentu.

Selesai dimuat beberapa hari,
Raja Kelinggi surat diberi,
Tanda muhibah antara negeri,
Bersahabat setia di sanubari.

Kapal Rum dengan muatan,
Diiring perahu berdekatan,
Bila tiba ke tambatan,
Lalu berlabuh kepenatan.

Masuk mengadap raja junjungan,
Timbul kembali semua kenangan,
Utusan Rum cerita berpanjangan,
Tujuan sebenar jadi pegangan.

Raja Merung ingin kembali,
Negeri Rum tempat asali,
Menteri Rum setuju sekali,
Langkasuka hendak ditinggali.

Putera Raja Merung bistari,
Tabalkan dulu jaga negeri,
Hanya keturunan mereka yang seri,
Baharu berjaya raja bersiri.

Utusan ke Aceh telah pulang,
Hadiah dan surat tidak berselang,
Baginda suka bukan kepalang,
Semua hasrat tidak tergalang.

Raja Merung ria bersuka,
Untuk tabal putera paduka,
Puluhan hari temasya dibuka,
Makan minum enak belaka.

40 malam 40 hari,
Putra mahkota kahwin puteri,
Pembesar bersara anak diberi,
Gentian waris pegawai dan menteri.

Raja Merung Mahapudisat,
Gelar berdarjat di negeri pusat,
Sebutan negeri janganlah sesat,
Elok namakan dengan pesat.

Negeri Kedah Zamin Tauran,
Nama baru sebagai gelaran,
Mahapudisat diberi ganjaran,
Makmurkan negeri antara jiran.

Tempayan besar teguh sasa,
Dibawa ke darat tidak tergesa,
Di pohon rokam letak selesa,
Untuk Merung Mahawangsa.

Usia Mahawangsa berlarutan,
Pulau-pulau menjadi daratan,
Pulau Seri bersatu tautan,
Demikian lama duduk penempatan.

No comments:

Post a Comment