Saturday, July 3, 2010

11 hilang pelantar minyak meletup


NEW ORLEANS 22 April - Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi laut dan udara semalam untuk mencari 11 pekerja minyak yang hilang di Teluk Mexico selepas satu letupan kuat menggegarkan sebuah pelantar di perairan dekat pantai Louisiana.

Tiga pekerja yang cedera masih kritikal selepas letupan menggegarkan pelantar Deepwater Horizon yang separuh tenggelam pada sekitar 10 malam semalam (11 pagi semalam waktu Malaysia), menyebabkan bola api menjulang ke udara.

Seramai 15 orang diterbangkan dengan helikopter ke hospital tempatan sementara pasukan penyelamat giat memindahkan baki 126 kakitangan dari pelantar kendalian kontraktor Switzerland, Transocean yang beribu pejabat di Houston, Texas.

Pelantar yang dikendalikan di bawah kontrak dengan BP Exploration and Production Inc. itu dipercayai mengalami kebocoran gas ketika menggerudi batu di kawasan cari gali Macondo milik BP, kata Naib Presiden Transocean, Adrian Rose.

"Tidak syak lagi tekanan semakin meningkat dalam paip yang berpunca dari dasar laut," katanya, sambil menolak kemungkinan letupan berpunca daripada poket gas cetek.

Beliau bagaimanapun berkata, punca kemalangan itu masih disiasat dan pihaknya belum mendapat fakta untuk mengesahkan kebocoran gas tetapi itu sekadar andaian yang mereka buat.

Pengawal Pantai menafikan laporan akhbar Times-Picayune mengatakan 11 pekerja yang hilang itu didapati selamat.

"Kami tidak mengetahui di mana 11 pekerja yang hilang itu berada tetapi kami akan terus mencari mereka," kata Komander Daerah Kelapan Pengawal Pantai, Laksamana Mary Landry.
Platform yang terletak 84 kilometer ke tenggara Venice di pantai Louisiana itu condong tiga hingga 10 darjah dan masih terbakar hampir sehari selepas letupan. Utusan

No comments:

Post a Comment